TUMPAT: "Tak sangka tindakan saya merebus ubi kayu membawa kepada tragedi kebakaran tiga rumah termasuk rumah saya, ...kini kami semua sehelai sepinggang," kata seorang daripada mangsa kebakaran membabitkan tiga rumah di Kampung Laut, di sini, hari ini.
Wan Semek Mamat, 57, berkata dia merebus satu periuk ubi kayu di dapur di luar rumah sebagai hidangan mereka sekeluarga pada jam 11.30 pagi.
Tidak lama kemudian, ibunya, Wan Yah Wan Seman, 76, yang tinggal di sebelah rumah terdengar bunyi sesuatu disusuli bau hangit sebelum memaklumkan kepadanya.
Wan Semek segera ke dapur untuk melihat ubi kayu direbusnya dan terkejut apabila ternampak api marak dan sedang membakar sebuah motosikal anaknya sehingga merebak ke dinding rumah.
"Saya agak tiupan angin menyebabkan api dapur menyambar kain di atas motosikal lalu segera mengejutkan empat anak yang berada di bilik masing-masing supaya keluar dari rumah kerana api merebak dengan cepat.
"Kami melarikan diri sehelai sepinggang dan saya hanya sempat mencapai dua plastik mengandungi bantal sahaja, sebelum cuba naik ke rumah bagi mengejutkan anak lelaki yang disangkakan sedang tidur," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Wan Semek berkata, dia kemudian menyedari anak lelakinya itu, Mohd Azlan Zakaria, 27, terjun menerusi tingkap bagi menyelamatkan diri.
Anaknya itu luka di pergelangan tangan kanan selepas memecahkan cermin kereta untuk menolak kenderaan itu ke tempat selamat kerana kunci berada dalam rumah yang sedang terbakar.
Sementara itu, anak Wan Semek, Siti Rohana Zakaria, 26, berkata dia berehat dalam bilik kerana sakit kepala dan mendengar jeritan ibunya dari luar sambil mengetuk pintu memberitahu rumah terbakar.
"Saya terus bangkit dan menuju ke rumah nenek yang uzur di sebelah untuk menyelamatkannya dan dengan dibantu adik beradik lain kami memapah nenek keluar dalam keadaan api marak di beberapa ruang dan dipenuhi asap," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan jam 12.03 tengah hari. Seramai 25 anggota dari BBP Tumpat, Wakaf Bharu dan Kota Darulnaim tiba 10 minit kemudian.