Rabu, 17 Februari 2021 | 1:47pm
Anggota bomba pengsan akibat strok haba selepas operasi memadam kebakaran bengkel kenderaan di Sungai Petani, pagi tadi. - NSTP/Foto ihsan pembaca
Anggota bomba pengsan akibat strok haba selepas operasi memadam kebakaran bengkel kenderaan di Sungai Petani, pagi tadi. - NSTP/Foto ihsan pembaca

Anggota bomba pengsan selepas padam kebakaran

SUNGAI PETANI: Seorang anggota bomba pengsan akibat strok haba selepas melaksanakan operasi memadam kebakaran sebuah bengkel kenderaan di Jalan Batu Lintang, di sini, pagi tadi.

Susulan itu anggota terbabit, Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Muhamad Fafzdirul Zulkifli, 24, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut.

Anggota bomba melaksanakan operasi memadam kebakaran sebuah bengkel kenderaan di Sungai Petani, pagi tadi. - NSTP/Foto ihsan JBPM
Anggota bomba melaksanakan operasi memadam kebakaran sebuah bengkel kenderaan di Sungai Petani, pagi tadi. - NSTP/Foto ihsan JBPM

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata terdahulu pihaknya menerima maklumat kebakaran bengkel itu pada jam 9.46 pagi.

Seterusnya, beliau berkata, sepasukan anggota bersama jentera dari BBP Tikam Batu dan BBP Sungai Petani tiba di lokasi pada jam 9.52 pagi.

"Sebaik saja tiba, anggota bomba mendapati berlaku kebakaran membabitkan bengkel kenderaan yang turut menyebabkan lima kereta serta dua motosikal musnah.

"Seramai 21 anggota dan tiga pegawai terus melakukan operasi mengawal serta memadam kebakaran.

"Operasi ditamatkan pada jam 11.29 pagi," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Namun sejurus operasi tamat, beliau berkata, komander operasi memaklumkan ada seorang anggota BBP Tikam Batu pengsan kerana mengalami strok haba.

"Anggota terbabit kemudian dihantar ke HSAH dan masih dirawat tetapi keadaannya dilaporkan stabil," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, bengkel terbabit dianggarkan musnah 80 peratus dalam kebakaran itu, manakala punca kejadian sedang disiasat.

Berita Harian X