Jumaat, 22 Januari 2021 | 4:35pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Provokasi polis: Dua mengaku salah, dua minta dibicara

GEORGETOWN: Dua mengaku bersalah, dua lagi minta dibicarakan terhadap pertuduhan menghalang penjawat awam melakukan tugas dalam insiden kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sri Tanjung, Tanjung Tokong, di sini Ahad, lalu.

Tertuduh, Shahrizal Anuar, 38, dan Mohd Safwan Akbar, 29, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Georgetown, di sini, ketika pertuduhan itu dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret, Rosnee Mohd Radzuan.

Bagaimanapun, dua lagi tertuduh, Mohd Hafiz Nasri Shah, 28, dan Mohd Danial Al Arabia Mohd Rafi, 24, mengaku tidak bersalah, minta dibicarakan terhadap pertuduhan sama.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan cara membuat provokasi terhadap tiga anggota polis 17 Januari lalu, pada jam 5.40 petang di simpang lampu isyarat Jalan Tanjung Tokong, di sini.

Kesalahan itu dituduh mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Januari ini sebagai tarikh menjatuhkan hukuman terhadap Shahrizal dan Mohd Safwan.

Sementara itu, 25 Februari depan ditetapkan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam terhadap Mohd Hafiz dan Mohd Danial Al Arabia.

Mahkamah turut menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap keempat-empat tertuduh.

Di hadapan majistret sama, keempat-empat mereka serta tiga yang lain iaitu Azizul Mohamad, 45, Mohd Idris Ayob, 25, dan Danish Ikmal Mohd Shafiq Samugam, 20, mengaku bersalah terhadap pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lokasi dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.

Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya,menetapkan 25 Januari ini sebagai tarikh menjatuhkan hukuman serta jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin terhadap semua tertuduh.

Kes dikendalikan Pendakwa Raya, Asisten Komisioner Siti Hajar Jaafar manakala hanya Danish Ikmal diwakili peguam, Mohd Rafiee Noordin.

Terdahulu dalam kejadian itu, dua lelaki dikatakan parah akibat terjatuh daripada motosikal yang didakwa ditendang dua anggota polis.

Gambar dan video kejadian itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi warganet.

Menerusi video berkenaan, orang ramai tidak berpuas hati dan mengerumuni serta mengeluarkan kata kesat terhadap anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang dikatakan, menendang motosikal ditunggang dua lelaki terbabit.

Namun, menerusi laporan dibuat pemandu kereta, mendapati dua lelaki terbabit yang tidak memakai topi keledar melarikan diri daripada polis dan melanggar lampu isyarat merah sebelum berlanggar dengan keretanya.

Berita Harian X