Rabu, 20 Januari 2021 | 4:58pm
Gambar daripada rakaman video yang tular memaparkan Sajat menangis.
Gambar daripada rakaman video yang tular memaparkan Sajat menangis.

Nur Sajat didakwa sebabkan agama Islam dipandang hina

SHAH ALAM: Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, lebih dikenali sebagai Nur Sajat sudah didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, atas tuduhan berpakaian seperti wanita, sehingga menyebabkan Islam dipandang hina.

Muhammad Sajjad, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mohamad Khalid SHaee @ Shaii pada 6 Januari lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Sajjad didakwa menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara berpakaian menyerupai wanita di dalam majlis bacaan Yassin dan solat hajat.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Nursajat Beauticion, Alam Avenue 2, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, di sini, jam 7.30 malam, pada 23 Februari 2018.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Sajjad diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 23 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarie Selangor, Atras Mohd Zain.

Sebelum ini tular di laman sosial, rakaman video yang memaparkan usahawan kosmetik itu menangis dalam keadaan bergari.

Berita Harian X