Selasa, 19 Januari 2021 | 2:22pm
SOFFIAN Santong
SOFFIAN Santong

Bukan ditendang polis

GEORGETOWN: Polis sudah merakam percakapan seorang daripada dua lelaki terbabit kemalangan di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong, di sini yang turut mencetuskan kekecohan selepas ada tuduhan motosikal dinaiki mereka ditendang anggota polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata dalam keterangan itu, lelaki terbabit turut mengaku mereka tidak ditendang anggota polis seperti yang ditularkan.

Katanya, penunggang motosikal terbabit berusia 21 tahun adalah pekerja hotel, manakala pembonceng yang parah pula berusia 19 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan.

"Kita baru sahaja ambil keterangan seorang daripada mereka dan dia mengaku tidak berlaku insiden mereka ditendang anggota polis. Lelaki yang parah masih dirawat di hospital," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, hari ini.

Soffian tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan berhubung kejadian itu yang tular di media sosial.

"Kita sedang membuat analisis menerusi gambar dan video yang tular itu dan mungkin ada tangkapan susulan," katanya lagi.

Dalam kejadian 5.20 petang kelmarin, dua lelaki terbabit dikatakan parah akibat terjatuh daripada motosikal yang didakwa ditendang dua anggota polis.

Gambar dan video kejadian itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi warganet.

Video berkenaan merakamkan sekumpulan orang awam seperti tidak berpuas hati lalu mengerumuni serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang dikatakan menendang motosikal ditunggang dua lelaki terbabit.

Namun, menerusi laporan dibuat pemandu kereta, dua lelaki berkenaan yang tidak memakai topi keledar didakwa melarikan diri daripada polis dan melanggar lampu isyarat merah sebelum berlanggar dengan keretanya.

Susulan itu, tujuh lelaki berusia 23 hingga 45 tahun direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 21 Januari bagi membantu siasatan.

Berita Harian X