Ahad, 17 Januari 2021 | 9:09pm

Polis buru suspek dua kes ragut di Kajang

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu seorang lelaki dipercayai mendalangi dua kes ragut di kawasan tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di Batu 11, Balakong, Kajang, pada 11 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata pihaknya menerima dua laporan polis daripada dua wanita yang menjadi mangsa dalam kejadian itu, pada hari sama.

"Kedua-dua mangsa sedang berjalan kaki ke kenderaan masing-masing sebelum seorang lelaki menaiki motosikal menghampiri daripada belakang dan meragut barangan berharga milik mereka.

"Dalam dua kejadian itu, mangsa kehilangan barang kemas, barangan peribadi, wang tunai serta kunci kenderaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, suspek adalah seorang lelaki yang tidak diketahui bangsanya, memakai baju hitam dan menaiki sebuah motosikal yang nombor pendaftarannya tidak dapat dipastikan.

"Kita percaya dua kejadian itu didalangi suspek sama dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Rakaman CCTV menunjukkan seorang wanita yang sedang berjalan dengan lelaki menolak troli diragut suspek bermotosikal.
Rakaman CCTV menunjukkan seorang wanita yang sedang berjalan dengan lelaki menolak troli diragut suspek bermotosikal.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta untuk tampil membantu siasatan polis," kata beliau.

Maklumat boleh disalurkan di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Zharif Shah di talian 012 5925390.

Dalam pada itu, dua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua kejadian ragut itu tersebar di media sosial hari ini.

Menerusi rakaman pertama berdurasi 26 saat, kelihatan mangsa berjalan kaki bersama seorang lelaki yang menolak troli barang sebelum suspek yang menaiki motosikal merentap rantai lehernya daripada belakang.

Dalam rakaman video kedua berdurasi 27 saat pula kelihatan seorang wanita berjalan kaki bersendirian sebelum suspek sekali lagi daripada belakang meragut beg tangan yang disangkut di bahu kanan mangsa.

Rakaman CCTV menunjukkan suspek bermotosikal meragut seorang wanita yang sedang berjalan ke kenderaannya.
Rakaman CCTV menunjukkan suspek bermotosikal meragut seorang wanita yang sedang berjalan ke kenderaannya.
Berita Harian X