Ahad, 17 Januari 2021 | 1:30pm

Bapa Bob Lokman didenda RM4,000 lakukan ugutan, rosakkan harta masjid

KOTA BHARU: Bapa kepada bekas pelakon, pelawak dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman dikenakan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah dan merosakkan barangan masjid, pada 21 November tahun lalu.

Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri menjatuhkan hukuman denda itu selepas tertuduh, Lokman Ahmad, 85, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dan memohon maaf.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Murtadza Mohd Mokhtar.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh mengeluarkan kata-kata ugutan dengan memberitahu kepada Mohd Hanis Sulaiman, 34, ingin menetak dan menembak mangsa, Muhammad Hafiz Hukmi Wardi, 39, sehingga mendatangkan ketakutan kepada pengadu dalam kejadian di Masjid Tok Kenali, jam 11 pagi, pada 21 November tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua di lokasi, tarikh dan masa sama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merosakkan harta masjid iaitu memecahkan pasu bunga serta memotong pokok bunga di kawasan masjid yang menyebabkan kerugian RM150 kerana memarahi Muhammad Hafiz Hukmi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara kurang satu tahun dan sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam tertuduh memohon hukuman minimum dikenakan memandangkan tertuduh mengaku bersalah dan pada masa sama anak guamnya mengalami penyakit kencing manis, darah tinggi dan masalah pendengaran.

Bagaimanapun, Sharifah Amirda Shasha memohon hukuman setimpal dikenakan supaya menjadi pengajaran.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 untuk satu pertuduhan dan boleh dipenjara setahun jika gagal membayar denda.

Tertuduh, Lokman Ahmad, 85, bapa kepada pelakon, Bob Lokman didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di Kota Bharu, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan ugutan dan merosakkan merosakkan harta masjid yang menyebabkan kerugian RM150 kerana memarahi Muhammad Hafiz Hukmi, pada 21 November tahun lalu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Tertuduh, Lokman Ahmad, 85, bapa kepada pelakon, Bob Lokman didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di Kota Bharu, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan ugutan dan merosakkan merosakkan harta masjid yang menyebabkan kerugian RM150 kerana memarahi Muhammad Hafiz Hukmi, pada 21 November tahun lalu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X