Rabu, 13 Januari 2021 | 4:10pm

Juruteknik mengaku ugut rogol ibu kenalan, bunuh mangsa

PETALING JAYA: Seorang juruteknik penyaman udara mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mengugut hendak merogol ibu kenalannya dan membunuh pelajar itu, pada Oktober tahun lalu.

M Satis Naidu, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Tertuduh didakwa mengugut akan merogol ibu pelajar lelaki berusia 16 tahun itu dan mengugut untuk membunuh mangsa (pelajar) di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, di sini pada 3 pagi, 30 Oktober tahun lalu, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zafirah Syed Mustapa menawarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh sementara menunggu tarikh jatuh hukum.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah menetapkan jaminan yang rendah atas alasan dia adalah penanggung utama keluarga.

Zhafran membenarkan Satis Naidu dibebaskan dengan jaminan RM1,800 serta seorang penjamin selain menetapkan 1 Mac depan untuk pendengaran fakta kes dan menjatuhkan hukuman. – BERNAMA

Berita Harian X