Khamis, 7 Januari 2021 | 3:09pm
Najib hadir untuk perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana milik 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Najib hadir untuk perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana milik 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

Mahkamah Tinggi keluar amaran tegas kepada Najib

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, mengeluarkan amaran tegas kepada Datuk Seri Najib Razak supaya tidak mengulangi tindakan beliau memuat naik hantaran di Facebook, membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengeluarkan arahan itu selepas mendengar hujah peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berhubung tindakan Najib memuat naik hantaran di laman Facebook miliknya, membabitkan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Sequerah dalam penghakimannya, berkata tertuduh (Najib) tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan, seolah-olah perbicaraan dilakukan di domain awam.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan tertuduh dilihat sebagai serangan kepada saksi pendakwaan.

"Bagaimanapun, pihak pendakwaan hanya memohon supaya mahkamah mengeluarkan amaran terhadap tertuduh.

"Sehubungan itu, mahkamah mengeluarkan amaran tegas supaya tertuduh tidak mengulangi tindakan itu," katanya.

Sequerah, berkata mahkamah akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memelihara integriti mahkamah.

Najib menghadapi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana milik 1MDB.

Berita Harian X