Ahad, 3 Januari 2021 | 12:24pm
Senapang angin buatan sendiri yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Jerangau, Dungun malam tadi. - Foto ihsan polis
Senapang angin buatan sendiri yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Jerangau, Dungun malam tadi. - Foto ihsan polis

Polis rampas senapang angin buatan sendiri

DUNGUN: Polis menahan seorang lelaki bersama selaras senapang angin buatan sendiri yang didakwa digunakan untuk menembak ayam hutan dalam serbuan di sebuah rumah di Jerangau, di sini, semalam.

Selain menahan suspek berusia 24 tahun, polis turut merampas 22 biji bebola besi dan sebiji tong gas pendingin hawa yang diubahsuai dalam serbuan jam 8.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata pemeriksaan di sebuah bilik rumah itu ketika serbuan mendapati seorang lelaki sedang memegang selaras senapang angin sebelum anggota menahannya dan merampas senjata berkenaan.

"Hasil pemeriksaan terhadap badan suspek menemui sebuah beg di pinggang yang mengandungi satu bekas plastik berisi 22 biji bebola besi," katanya sambil menambah siasatan mendapati suspek mengaku senapang angin yang dirampas itu adalah buatannya sendiri.

Suspek mengaku belajar membuat senapang itu menerusi YouTube kira-kira seminggu lalu untuk memburu ayam hutan di kawasan Felda Jerangau dan kali terakhir ia digunakan adalah Jumaat lalu.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960," katanya.

Berita Harian X