Sabtu, 26 Disember 2020 | 12:26pm

1 maut, 6 cedera kereta bertembung

PORT DICKSON: Seorang lelaki maut manakala enam remaja lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 13.8 Jalan Seremban-Port Dickson, berhampiran simpang Kampung Batu 7, Sungai Sendayan malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin, berkata kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu membabitkan kereta jenis Honda Civic dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser dinaiki enam remaja berusia 19 tahun.

"Mangsa yang maut dikenali sebagai Phoon Swee Loong, 41, dari Bandar Springhill, Port Dickson.

"Kereta Honda Civic dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Port Dickson dipercayai hilang kawalan masuk ke arah bertentangan lalu bertembung dengan Toyota Unser yang datang dari arah Port Dickson ke Seremban," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Anggota bomba menyiram kesan tumpahan minyak di lokasi kemalangan. - NSTP/Mohd Khidir Zakaria
Anggota bomba menyiram kesan tumpahan minyak di lokasi kemalangan. - NSTP/Mohd Khidir Zakaria

Katanya, mangsa berusia 41 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat.

"Empat remaja berkenaan cedera parah manakala dua daripadanya cedera ringan dan di hantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Difahamkan kumpulan remaja berkenaan dalam perjalanan ke Rembau untuk mendaki gunung Datuk.

Dua kenderaan bertembung di Kilometer 13.8 Jalan Port-Seremban, malam tadi mengakibatkan seorang maut dan enam cedera - Foto ihsan pembaca
Dua kenderaan bertembung di Kilometer 13.8 Jalan Port-Seremban, malam tadi mengakibatkan seorang maut dan enam cedera - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X