Isnin, 21 Disember 2020 | 10:27am

Bekas guru rugi lebih RM500,000 diperdaya Macau Scam

GEORGETOWN: Gara-gara bimbang dimasukkan ke lokap, seorang bekas guru wanita kerugian lebih RM500,000 selepas akur dengan arahan 'polis' yang memintanya meninggalkan kad ATM berserta nombor pin di peti surat rumahnya.

Wanita itu hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam sebulan kemudian selepas membuat kad ATM baharu dan hendak memeriksa penyata akaun banknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim, menjelaskan mangsa sebelum itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Fairul dari Kota Kinabalu, Sabah.

Katanya, suspek mendakwa mangsa terbabit dengan sindiket pengubahan wang haram dengan memaklumkan menjumpai bungkusan milik mangsa yang mengandungi lapan kad ATM digunakan bagi tujuan penipuan.

Katanya, mangsa yang ketakutan kemudian diminta mengikut arahan suspek dengan meletakkan kad ATM berserta nombor pin dalam peti surat rumahnya.

"Suspek memberitahu kononnya ia adalah arahan daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan kad itu akan diambil oleh seorang 'Inspektor polis'.

"Suspek turut mendakwa mangsa akan dimasukkan ke dalam lokap sekiranya tidak mengikut arahan diberikan," katanya hari ini.

Mohd Rosni menambah, mangsa yang ketakutan mengikut arahan suspek dan keesokannya mendapati kad ATM yang dimasukkan ke dalam peti surat itu tiada.

Katanya, sebulan kemudian, mangsa membuat kad ATM baharu kerana mahu mengambil wang pencen dan pada masa sama menyemak penyata akaun.

"Ketika itu, mangsa mendapati baki wang simpanan dalam akaunnya sebanyak RM512,316.18 sudah dikeluarkan.

"Menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis semalam. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Rosni berkata, siasatan awal mendapati panggilan telefon yang diterima mangsa adalah nombor yang didaftarkan dari luar negara.

Berita Harian X