Isnin, 14 Disember 2020 | 3:17pm

Baru bebas 10 hari, kena dakwa lagi

KOTA BHARU: Seorang ustaz hanya berpeluang menikmati kebebasan selama 10 hari selepas menjalani hukuman penjara, sebelum sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini bagi kesalahan sama iaitu melakukan kelucahan melampau terhadap seorang kanak-kanak pada Mac tahun lalu.

Tertuduh, Nik Hazmi Ghani, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nor Azlinawati Mohd Arshad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun pada pertengahan Mac 2019 antara jam 2 hingga 3 pagi di sebuah bilik pondok tahfiz di Kubang Kerian.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut akta sama iaitu penjara tiga hingga 15 tahun dan sebat.

Mahkamah menetapkan 13 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan.

Pada 2016, media melaporkan, seorang guru agama dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, atas tuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap pelajarnya pada tahun 2014.

Hakim Mohd Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Nik Hazmi, didapati bersalah terhadap pertuduhan itu.

Tertuduh, Nik Hazmi Ghani, 39, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang kanak-kanak pada Mac tahun lalu. KHIS / Nik Abdullah Nik Omar

Tertuduh, Nik Hazmi Ghani, didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota BHaru atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang kanak-kanak pada Mac tahun lalu - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Tertuduh, Nik Hazmi Ghani, didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota BHaru atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang kanak-kanak pada Mac tahun lalu - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X