Khamis, 3 Disember 2020 | 6:01pm

Suspek lari pemeriksaan polis diberkas

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang membahayakan nyawa orang awam dan anggota polis dengan memecut kereta ketika diperiksa di Jalan Kolam Air, Ampang sehingga ke Kampung Baru, di sini, pagi semalam, diberkas selepas hampir dua jam diburu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata sebelum itu, polis menerima maklumat daripada orang awam bahawa terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta berhampiran tempat cuci kereta sebuah stesen minyak di Jalan Kolam Air, pada jam 10.15 pagi semalam.

Beliau berkata, susulan maklumat berkenaan, polis yang tiba tiga minit kemudian melakukan pemeriksaan dan mengejutkan suspek dengan mengetuk pintu kereta yang berkunci keadaan enjin kenderaan masih hidup.

Bagaimanapun, katanya suspek tidak memberi kerjasama dan terus memecut dari stesen minyak berkenaan.

"Polis kemudian mengejar suspek yang melalui jalan besar di hadapan pusat beli-belah Ampang Point dan melanggar dua kereta sebelum memasuki Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur dan keluar di susur Jalan Tun Razak, menuju ke kawasan Kampung Baru," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Mohamad Farouk, berkata suspek kemudian masuk ke kawasan pusat jualan kereta terpakai sebelum orang ramai menutup pintu pagar premis berkenaan.

"Polis Daerah Ampang Jaya dibantu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kemudian memecahkan cermin kereta untuk membuat tangkapan sehingga menyebabkan seorang anggota mengalami kecederaan, namun suspek bertindak agresif dan sekali lagi memecut kereta dengan merempuh pagar premis itu.

"Bagaimanapun pada jam 11.55 pagi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi, dapat memberkas suspek di Jalan 4, Kampung Melayu Tambahan, Ampang, Selangor," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan polis mendapati suspek mempunyai 13 rekod jenayah lampau membabitkan sembilan kes jenayah dan empat kes berkaitan kesalahan narkotik.

Suspek ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Terdahulu tular video berdurasi 1.24 saat menerusi aplikasi Whatsapp menunjukkan suspek berusia 39 tahun itu cuba melarikan diri ketika diperiksa oleh dua anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) dan dua anggota dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru.

Berita Harian X