Khamis, 3 Disember 2020 | 5:33pm
Sebahagian 200 kg daun ketum dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi di Kuala Perlis, selepas cuba diseludup ke negara jiran. - Foto Ihsan PPM
Sebahagian 200 kg daun ketum dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi di Kuala Perlis, selepas cuba diseludup ke negara jiran. - Foto Ihsan PPM

2 penyeludup terjun sampan tinggal 200 kg ketum

LANGKAWI: Tindakan dua individu terjun meninggalkan sampan dinaiki di kawasan muara Kuala Perlis sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, membongkar cubaan mereka menyeludup keluar daun ketum malam tadi.

Difahamkan, 200 kilogram (kg) bahan daun ketum dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) susulan pemeriksaan ke atas sampan berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 1 Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid, berkata terdahulu pihaknya menerima maklumat mengenai sebuah sampan mencurigakan dalam perjalanan keluar dari Kuala Perlis disyaki membawa muatan daun ketum.

Susulan itu, katanya pasukan operasi bergegas ke lokasi sebelum memintas sampan berkenaan yang dinaiki dua individu.

"Menyedari sampan mereka dipintas, dua suspek berkenaan terjun ke muara dalam keadaan gelap untuk meloloskan diri dan gagal dikesan.

"Hasil pemeriksaan ke atas sampan ditinggalkan kemudian menemui 20 bungkusan plastik mengandungi daun ketum seberat 200 kg dianggar bernilai RM27,000 yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran," katanya.

Beliau berkata, semua stok ketum berkenaan kemudian dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Daerah Kangar untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan berkenaan.

Berita Harian X