Selasa, 1 Disember 2020 | 2:44pm
Senapang angin yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Paka. - Foto Ihsan Polis
Senapang angin yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Paka. - Foto Ihsan Polis

Tukang rumah simpan senapang angin

DUNGUN: Polis merampas selaras senapang angin dan tujuh biji bebola besi serta menahan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Paka awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata serbuan jam 1.30 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota hasil maklumat diperoleh.

Sebaik tiba di rumah berkenaan, ada seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang rumah dan pemeriksaan menemui selaras senapang angin buatan sendiri di bawah katil di bilik tidur rumah.

"Pemeriksaan seterusnya menemui mesin pemampat angin di tepi dinding ruang tamu dan satu kotak berwarna putih mengandungi 17 biji bebola besi dalam almari di ruang tamu.

"Ketika soal siasat, suspek memaklumkan senapang angin itu milik arwah abangnya yang digunakan untuk memburu pelanduk di hutan dengan kali terakhir digunakan pada November tahun lalu.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960," katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X