Ahad, 29 November 2020 | 11:35pm

Lelaki bawa pokok pisang guna kereta, tiada lesen memandu

ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki yang membawa sebatang pokok pisang menggunakan kereta sehingga membahayakan pengguna jalan raya di Taman Mutiara Rini, dekat sini, semalam, didapati tidak memiliki lesen memandu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata malah semakan rekod turut mendapati lelaki berusia 30 tahun itu memiliki 18 saman trafik, termasuk empat waran tangkap dan 10 saman tidak boleh dikompaun.

Sejak petang semalam, tular video berdurasi 54 saat melalui media sosial yang menunjukkan seorang lelaki memandu kereta Toyota Vios dengan membawa sebatang pokok pisang secara melintang, sekali gus menerima kecaman pengguna jalan raya yang lain.

Dzulkhairi berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku di Jalan Persiaran Utama, Mutiara Rini, Skudai, kira-kira jam 2 petang semalam.

Bertindak atas maklumat diperoleh, beliau berkata, polis berjaya menghubungi pemilik kenderaan itu yang berada di Singapura pada jam 7.15 malam.

"Kira-kira jam 8.30 malam hari sama, anak pemilik kereta itu hadir bersama motokar yang didapati viral dalam video berkenaan.

"Berdasarkan keterangan lisan anak pemilik motokar, kenderaan itu didakwa dipandu oleh sepupunya yang membawa pokok pisang terbabit untuk tujuan upacara keagamaan di kawasan Mutiara Rini.

"Kira-kira jam 9.30 pagi tadi, lelaki berusia 30 tahun yang memandu kereta Toyota Vios terbabit, menyerah diri di Balai Polis Trafik Iskandar Puteri.

"Hasil pemeriksaan rekod, lelaki itu didapati memiliki 18 saman trafik, termasuk empat waran tangkap serta 10 saman tidak boleh dikompaun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, pemandu itu disaman bawah Kaedah 20 LN 166/59 atas kesalahan membawa muatan dengan kenderaan yang tidak sesuai.

Beliau berkata, lelaki itu juga dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, pagi tadi, bagi menyelesaikan kes saman lampau yang berstatus waran tangkap.

"Secara keseluruhan, enam saman bernilai RM1,200 diselesaikan.

"Motokar terbabit pula disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh serta kenderaan dipandu tanpa lesen, hingga pemilik sah kenderaan hadir untuk diambil tindakan lanjut," katanya.

SEORANG lelaki yang membawa sebatang pokok pisang menggunakan kereta sehingga membahayakan pengguna jalan raya di Taman Mutiara Rini.a
SEORANG lelaki yang membawa sebatang pokok pisang menggunakan kereta sehingga membahayakan pengguna jalan raya di Taman Mutiara Rini.a
Berita Harian X