Ahad, 29 November 2020 | 3:26pm

Saksi nampak suspek tidak berpakaian ketika campak Adam

KUALA LUMPUR: Seorang saksi kejadian budak maut dicampak dari tingkat 4 sebuah pangsapuri di Danau Kota, Setapak, di sini pagi tadi, mendakwa mendengar bunyi bising dan orang menjerit daripada unit kediaman di tingkat atas rumahnya.

Idayu Ismail, 24, berkata dia adalah antara saksi kejadian yang turut sama membantu menyelamatkan seorang wanita daripada dirogol oleh bapa tirinya dalam kejadian 7.40 pagi tadi.

"Mula-mula saya terdengar bunyi bising dan ada suara wanita menjerit meminta pertolongan kemudian saya keluar dan lihat ada jiran lain menarik dan menyelamatkan seorang wanita yang tinggal di tingkat atas kediaman saya.

"Pada masa itu wanita terbabit dalam keadaan berlumuran darah serta tidak berpakaian di tangga hadapan rumah saya," katanya ketika ditemui BH selepas polis merekod kenyataannya.

Katanya, dia dan keluarga menyelamatkan wanita itu namun tidak lama kemudian Idayu melihat suspek juga dalam keadaan bogel membaling telefon pintar dari tingkat atas.

"Suspek kemudian bertindak mencampak seorang budak lelaki berusia empat tahun dari tingkat empat kediamannya menerusi tingkap rumah. Saya panik dan segera menghubungi polis.

"Kanak-kanak yang dicampak itu memang kami kenali di kawasan kejiranan kami sebagai Adam dan suspek adalah warga Nigeria yang juga dipercayai datuk tiri kepadanya," katanya.

Idayu berkata, semua wanita tempatan yang tinggal bersama suspek dipercayai adalah anak tirinya dan sebelum kejadian hari ini, tiada sebarang kejadian pelik atau aneh pernah berlaku.

"Sebelum ini keluarga mereka tidak pernah bergaduh dan kerap turun ke tingkat bawah pada waktu petang untuk beriadah," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner, Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, berkata suspek berusia 42 tahun itu cuba merogol salah seorang anak tirinya yang sedang tidur di ruang tamu namun dihalang oleh isteri dan anak-anak yang lain.

"Anak tiri mangsa berusia antara 19 hingga 29 tahun itu cuba menghalang suspek daripada merogol dan suspek mengamuk, memukul serta menghentak kesemua mangsa yang ada dalam rumah berkenaan.

"Selepas itu isteri dan anak-anak tirinya cuba menyelamatkan diri dan keluar daripada rumah untuk mendapatkan bantuan daripada jiran dan pengawal keselamatan," katanya.

Nik Ros berkata, melihat mereka melarikan diri meminta pertolongan, suspek berkemungkinan bertambah marah dan bertindak mengangkat mangsa, Muhammad Adam Sufi, 4, dan kemudian membawa ke tepi tingkap luar bilik utama.

"Suspek kemudian mencampak Adam hingga jatuh ke bawah dan dia kemudian melompat keluar menerusi tingkap sama

"Suspek yang mengalami kecederaan tidak dapat melarikan diri dan ditangkap oleh pengawal keselamatan dan orang awam sebelum diserahkan kepada polis," katanya.

"Suspek dibawa Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut manakala, Adam yang disahkan meninggal dunia di lokasi turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Idayu Ismail mendakwa mendengar bunyi bising dan orang menjerit daripada unit kediaman di tingkat atas rumahnya. - Foto NSTP
Idayu Ismail mendakwa mendengar bunyi bising dan orang menjerit daripada unit kediaman di tingkat atas rumahnya. - Foto NSTP
Berita Harian X