Ahad, 29 November 2020 | 9:53am

Kes bunuh bekas penyelidik: Rompakan ketika bekalan elektrik terputus

KUALA LUMPUR: Kejadian pembunuhan seorang bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Wan Hassan Wan Embong, 71 di rumahnya di Bangsar, di sini, pagi tadi dipercayai dilakukan sekurang-kurangnya dua lelaki.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata perompak memecah masuk kediaman itu ketika kawasan perumahan berkenaan terputus bekalan elektrik, kira-kira jam 3 pagi tadi.

"Ketika kejadian mangsa bersama isterinya di dalam rumah dan berdasarkan maklumat awal, dua lelaki bersenjata tajam memecah masuk ke kediaman itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Anuar berkata, mangsa maut akibat ditetak di leher dan badan, manakala isterinya cedera ditetak di tangan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya cedera parah dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

"Polis kini sedang giat memburu suspek yang bertanggungjawab dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, BH difahamkan, mangsa yang kini ahli perniagaan adalah bekas penyelidik MARDI dan sudah lama bersara. Mangsa sebelum ini juga aktif menulis buku.

Berita Harian X