Sabtu, 28 November 2020 | 1:53pm
Kejadian pergaduhan di Jalan Tebrau, Johor Bahru yang tular di media sosial. - Foto ihsan Pembaca
Kejadian pergaduhan di Jalan Tebrau, Johor Bahru yang tular di media sosial. - Foto ihsan Pembaca

Lelaki Bangladesh dicari, insiden gaduh tular

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warganegara Bangladesh dalam lingkungan usia 30-an dicari susulan rakaman insiden pergaduhannya dengan lelaki tempatan tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain, berkata dalam insiden pergaduhan yang dilaporkan di Jalan Tebrau dekat sini, lelaki tempatan berusia 39 tahun itu cedera di kepala, lengan dan kaki.

"Berdasarkan saksi, suspek bertindak memukul mangsa dipercayai menggunakan sebatang besi.

"Mangsa kini stabil dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah. Punca dan motif kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Padzli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Pihak Polis mohon kerjasama dari orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi terus ke talian Hot Line IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323.

Berita Harian X