Khamis, 26 November 2020 | 4:24pm
POLIS menahan 12 individu dalam Op Tapis Khas di beberapa lokasi sekitar Kuala Muda, Penaga, Kepala Batas. FOTO IHSAN PDRM
POLIS menahan 12 individu dalam Op Tapis Khas di beberapa lokasi sekitar Kuala Muda, Penaga, Kepala Batas. FOTO IHSAN PDRM

Polis, AADK gempur tempat jual beli dadah terbuka

KEPALA BATAS: Aktiviti jual beli dadah secara terang-terangan seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Itulah gambaran yang dapat dilihat apabila sepasukan anggota polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menggempur beberapa lokasi di Kuala Muda, Penaga di sini, semalam.

Dalam operasi selama tujuh jam yang berakhir jam 5 petang itu, seramai 12 lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 50-an ditahan ketika menjual dan membeli dadah secara terang-terangan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis bersama AADK menjalankan Op Tapis Khas bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah melalui maklumat yang diterima

"Polis menerima maklumat berhubung beberapa kawasan di sini yang dikatakan tempat menjual dadah secara terang-terangan.

"Dalam operasi itu, kita turut merampas dadah jenis heroin seberat 3.2 gram bernilai RM160.

"Seramai 10 individu didapati positif dadah serta dua lagi ditahan kerana kesalahan masing-masing mengedar dan memiliki dadah," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, 10 individu diserahkan kepada AADK Seberang Perai Utara bagi siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

"Manakala dua lagi akan direman bagi siasatan mengikut Seksyen 39 A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.," katanya.

Berita Harian X