Jumaat, 30 Oktober 2020 | 9:59pm
Bomba mengangkat mayat lelaki ditemui di Sungai Kemena, Bintulu. Ihsan polis
Bomba mengangkat mayat lelaki ditemui di Sungai Kemena, Bintulu. Ihsan polis

Jala udang jumpa mayat

BINTULU: Orang ramai yang sedang menjala udang dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki yang tersangkut pada bahagian bawah sebuah tongkang di Sungai Kemena, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, berkata Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu menerima panggilan berhubung penemuan mayat berkenaan pada jam 2.30 petang lalu.

Katanya, sampai di lokasi kejadian, pasukan polis mendapati terdapat mayat seorang lelaki tersangkut pada bahagian bawah sebuah tongkang di sungai berkenaan.

"Polis mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu dan Pasukan Polis Marin Bintulu untuk mengangkat mayat dari sungai.

"Ketika ditemui, mayat lelaki itu mulai reput. Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat itu.

"Hasil pemeriksaan tidak menemui kecederaan pada tubuh mangsa. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu bagi tujuan bedah siasat.

Zulkipli turut meminta orang awam yang kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi Balai Polis Bintulu bagi membantu siasatan kes penemuan mayat berkenaan.

Berita Harian X