Rabu, 28 Oktober 2020 | 11:38pm
Antara barangan yang dirampas susulan penahanan enam suspek yang disyaki melakukan penipuan RM1.28 juta membabitkan urus niaga pembelian sarung tangan getah, semalam.
Antara barangan yang dirampas susulan penahanan enam suspek yang disyaki melakukan penipuan RM1.28 juta membabitkan urus niaga pembelian sarung tangan getah, semalam.

Tipu urus niaga sarung tangan getah RM1.28 juta

PETALING JAYA: Polis menahan empat wanita dan dua lelaki yang dipercayai mendalangi kegiatan penipuan penjualan sarung tangan getah sehingga seorang pengarah sebuah syarikat kerugian RM1.28 juta, semalam.

Kesemua suspek ditahan di perkarangan sebuah pejabat di Jalan Tun Razak di ibu negara kira-kira jam 10.30 malam susulan aduan yang dibuat oleh mangsa pada 13 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata mangsa pada mulanya bersetuju membeli 39,000 kotak sarung tangan getah jenis 'nitrile glove' daripada sebuah syarikat bernilai RM1.28 juta pada 8 September lalu.

"Ejen yang mewakili mangsa kemudian berjumpa seorang suspek wanita yang juga pemilik syarikat yang menjual sarung tangan getah itu untuk melihat stok dan membuat pengesahan.

"Stok 'nitrile glove' itu dilihat sudah ditandakan dengan nama syarikat mangsa dan pada 9 September lalu, mangsa membuat dua kali pembayaran ke akaun bank syarikat suspek, bagaimanapun stok yang dijanjikan tidak dihantar.

"Suspek memberi alasan stok berkenaan sudah pun dijual kepada syarikat lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek kemudian berjanji memulangkan semula wang mangsa sebelum 13 Oktober lalu melalui satu surat perjanjian.

"Suspek turut memberikan gambar bukti transaksi pembayaran balik yang palsu kepada pengadu, bagaimanapun tiada sebarang wang didepositkan ke akaun syarikat pengadu seperti didakwa.

"Pada hari sama, suspek menyerahkan cek untuk meyakinkan lelaki itu bahawa pembayaran sudah dibuat namun mangsa mendapati cek itu adalah palsu. Mangsa kemudian membuat satu laporan polis," katanya.

Hasil siasatan, empat wanita termasuk suspek utama serta dua lelaki akhirnya ditahan di perkarangan sebuah pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur kira-kira jam 10.30 malam kelmarin.

Tangkapan ke atas semua suspek berusia antara 20 hingga 45 tahun dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

"Semakan mendapati salah seorang wanita berusia 30-an yang ditahan adalah suspek yang dikehendaki bersabit empat kes berkaitan penipuan.

"Kesemua suspek kini direman empat hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu," katanya.

Selain tangkapan, polis turut merampas 10 telefon bimbit, tujuh fail milik syarikat yang mengandungi pelbagai dokumen, sebuah komputer serta pelbagai cop milik syarikat.

Berita Harian X