Rabu, 28 Oktober 2020 | 5:53pm
 Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz (tengah) menunjukkan barang hasil rampasan selepas mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.NSTP/BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz (tengah) menunjukkan barang hasil rampasan selepas mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.NSTP/BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Askar Wataniah mati tergantung dipercayai ada masalah kewangan

IPOH: Seorang anggota Askar Wataniah yang ditemui dalam keadaan tergantung di sebuah garaj kenderaan di Pusat Latihan Askar Wataniah (PUSWATAN) di sini, pagi tadi dipercayai berhadapan masalah kewangan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata hasil bedah siasat terhadap mangsa yang berusia 37 tahun itu mendapati kematiannya disebabkan jerutan tetapi penyiasatan masih berlangsung.

"Kita sedang menghubungi keluarga dan sebagainya untuk mendapatkan informasi dan kita masih cuba mendapatkan pencerahan daripada keluarga sendiri adakah ia berkaitan dengan 'Along' (peminjam wang haram) atau tidak sehingga mengakibatkan dia mengambil tindakan begitu (gantung diri)," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini, hari ini.

A Asmadi berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjutan berhubung kes berkenaan.

"Kita mendengar desas-desus bahawa ada unsur-unsur berkaitan dengan hutang Along dan sebagainya tetapi kita masih sedang menjalankan siasatan," katanya

Beliau berkata, difahamkan rakan setugas melihat mangsa dalam keadaan baik dan sedang memandu sebelum meletakkan kenderaan di tepi garaj itu.

"Rakan sekerja mengatakan dia memang nampak dalam seminggu dua ni agak gelisah (mungkin) disebabkan ada masalah keluarga," katanya.

Terdahulu, pada jam 7.09 pagi tadi mangsa dijumpai oleh seorang pegawai yang ketika itu sedang menuju ke Pejabat Bahagian Pentadbiran di pusat latihan itu dalam keadaan tergantung di garaj.

Pasukan PUSWATAN bertindak menghubungi pihak polis dan pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan pihak hospital yang tiba untuk menjalankan pemeriksaan di kem pada jam 7.55 pagi mengesahkan anggota sudah meninggal dunia dalam tempoh dua ke tiga jam yang lalu.

Berita Harian X