Rabu, 28 Oktober 2020 | 5:04pm
GAMBAR fail M Indira Gandhi.
GAMBAR fail M Indira Gandhi.

M Indra Ghandi saman Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Guru tadika, M Indira Gandhi yang sejak 11 tahun lalu tidak

bertemu anak bongsunya selepas dilarikan bekas suami yang memeluk Islam, mengemukakan saman terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga yang lain.

Indira yang memfailkan saman itu melalui e-filing oleh Tetuan Raj & Sach mendakwa KPN gagal melaksanakan perintah mahkamah untuk menangkap bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah dan mengembalikan anaknya Prasana Diksa yang kini berusia 12 tahun.

Wanita itu berkata, KPN berperanan secara langsung atau tidak langsung dalam memberikan keputusan dan memberikan arahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak.

Beliau yang bertindak selaku plaintif, menamakan KPN (tidak menyatakan nama), PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga keempat.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan, Indira berkata beliau berkahwin dengan K Patmanathan (ketika itu) pada 10 April 1993 dan dikurniakan dengan tiga orang anak.

Beliau berkata, suaminya memeluk Islam pada 11 Mac 2009 dan menukar agama ketiga-tiga anak mereka, selain mendapat hak penjagaan semua anaknya daripada Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada 29 September 2009.

Indira kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Sivil di Ipoh bagi mendapatkan hak penjagaan ketiga-tiga anak mereka, yang kemudian dibenarkan pada 11 Mac 2010, bagaimanapun anak bongsu, Prasana Diksa diambil secara paksa oleh suaminya.

Plaintif berkata, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan Muhammad Riduan dipenjarakan sehinggalah beliau memulangkan Prasana Diksa kepadanya.

Katanya, mereka bercerai pada 8 Ogos 2012.

Pada masa sama, plaintif memfailkan permohonan semakan kehakiman supaya KPN menguatkuasa perintah komital (menghina mahkamah) terhadap bekas suaminya kerana tidak mengembalikan Prasana Diksa.

Menurut plaintif lagi, Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016 membenarkan rayuannya dan memutuskan supaya Muhammad Riduan perlu ditangkap dan waran komital perlu dilaksanakan ke atasnya.

Plaintif sehubungan itu berkata, KPN dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah Mahkamah Persekutuan dengan gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan semula Prasana Diksa kepadanya.

Beliau berkata, kesemua defendan juga berperanan membuat keputusan atau memberikan arahan kepada PDRM bagi melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya itu.

Katanya, KPN juga enggan menangkap bekas suaminya walaupun mengetahui lokasi lelaki terbabit.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan selain memohon perisytiharan bahawa KPN melakukan tort nonfeasance di pejabat awam iaitu gagal untuk bertindak dalam mengesan dan menangkap Muhammad Riduan.

Berita Harian X