Ahad, 25 Oktober 2020 | 2:07pm
Mad Nazri Kasbi dan Mohd Yazzid Ahmad didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menipu wang berjumlah RM2.5 juta bagi projek pembersihan yang tidak wujud tahun lalu. NSTP/Mohamed Farid Noh
Mad Nazri Kasbi dan Mohd Yazzid Ahmad didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menipu wang berjumlah RM2.5 juta bagi projek pembersihan yang tidak wujud tahun lalu. NSTP/Mohamed Farid Noh

Usahawan, broker didakwa tipu RM2.5 juta

JOHOR BAHRU: Seorang usahawan dan broker mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menipu wang berjumlah RM2.5 juta bagi projek pembersihan yang tidak wujud, tahun lalu.

Pertuduhan terhadap Mad Nazri Kasbi, 46, dan Mohd Yazzid Ahmad, 39, di hadapan Majistret Mohd Farid Nazzrin Ahmad.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menipu seorang pemilik syarikat dengan memperdayakannya bahawa tertuduh boleh mendapatkan projek kerja pembersihan hutan di kawasan Sekakap, Mersing.

Projek itu kononnya mendapat kelulusan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim sehingga mendorong mangsa menyerahkan cek bernilai RM2.5 juta.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Pusat Perdagangan Danga Utama, Skudai, di sini, kira-kira jam 2 petang, 11 April 2019.

Bagi perbuatan itu kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew, dengan Mad Nazri diwakili N Rhubinii, manakala Mohd Yazzid pula diwakili Shaik Salem SM Daud.

Terdahulu, Choon Yew menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin.

Mahkamah kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh dijamin RM13,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan pasport kedua tertuduh diserah kepada mahkamah selain perlu melapor diri ke balai polis berhampiran seminggu sekali.

Sebutan semula kes berkenaan bagi penyerahan dokumen ditetapkan pada 6 Disember depan.

Berita Harian X