Khamis, 22 Oktober 2020 | 1:52pm

Ibu tunggal 7 anak didenda RM4,000

KANGAR: Seorang tukang urut wanita tujuh anak terpaksa ditahan di penjara selepas gagal membayar denda dikenakan Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan menawarkan khidmat seks untuk maksud persundalan.

Wanita terbabit yang berusia 37 tahun yang juga ibu tunggal dijatuhi hukuman denda RM4,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Dia dibawa ke Pusat Koreksional Perlis.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menawarkan khidmat seks bagi maksud persundalan di sebuah rumah di Taman Jaya Diri, Behor Temak pada jam 11.20 malam 16 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Por Yi Tying, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Wan Nursyaheedah Wan Najmi dan Nur Diyana Ab Shukor.

Wan Nursyaheedah dalam rayuannya memohon tertuduh dikenakan hukuman ringan kerana hanya bekerja sebagai tukang urut di sebuah spa dan perlu menyara tujuh anak berusia antara tiga hingga 17 tahun.

Kamaliza kemudian menetapkan tertuduh didenda sebanyak RM4,000 dan sekiranya gagal membayar denda dia akan dipenjara selama lapan bulan.

Tukang urut spa berusia 37 tahun (dua dari kanan) didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kangar selepas mengaku bersalah menawarkan khidmat seks pada 16 Oktober lalu - Foto NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Tukang urut spa berusia 37 tahun (dua dari kanan) didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kangar selepas mengaku bersalah menawarkan khidmat seks pada 16 Oktober lalu - Foto NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Berita Harian X