Rabu, 21 Oktober 2020 | 2:49pm

Peniaga ikan didakwa tipu RM60,000

PETALING JAYA: Seorang peniaga ikan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menipu seorang individu berjumlah RM60,000 berhubung penyelesaian hutang along.

Tertuduh, Azraie Jamaludin, 43, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Azraie didakwa menipu seorang pekerja syarikat teknologi maklumat dengan memperdaya mangsa menyerahkan wang berjumlah RM60,000 bagi penyelesaian hutang along.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di The Coffee Bean, Tropicana Avenue, dan Hotel Eastin, di sini, pada 5 dan 9 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Atifah Hazimah Wahab, menawarkan jaminan RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Namun, tertuduh dalam rayuannya melalui peguam, Siti Rohaya Mohd Tajudin, memohon dikurangkan ikat jamin dengan alasan menghidap kanser serta penyakit jantung dan sedang menerima rawatan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, dan menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Azraie Jamaludin didakwa di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, hari ini. - NSTP/Rohanis Shukri
Azraie Jamaludin didakwa di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, hari ini. - NSTP/Rohanis Shukri
Berita Harian X