SITIAWAN: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung lori tangki yang memasuki laluan bertentangan di Kilometer 8 Seri Manjung-Segari, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa, Chang Siew Choo, 42, disahkan maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata siasatan awal mendapati mangsa memandu Honda Accord dari arah Segari menghala Seri Manjung, manakala lori tangki itu dari arah bertentangan.
"Lori tangki dipandu lelaki berusia 49 tahun itu dipercayai masuk ke laluan bertentangan, lalu bertembung dengan Honda Accord terbabit.
"Mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu treler ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.