Ahad, 18 Oktober 2020 | 10:24am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Bayi 20 hari maut dipercayai tersedak susu

ISKANDAR PUTERI: Seorang bayi berusia 20 hari maut dipercayai akibat tersedak susu, di Tanjung Kupang, Gelang Patah, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.07 petang itu, bayi perempuan berkenaan disedari tidak sedarkan diri oleh bapa angkatnya yang berusia 35 tahun.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata lelaki berkenaan kemudian menghubungi klinik kesihatan berhampiran sebelum bayi terbabit disahkan sudah meninggal dunia.

"Ketika kejadian bayi berkenaan dipercayai sedang menyusu di rumah sewa lelaki berkenaan di Tanjung Kupang.

"Mangsa kemudian mendapati anak perempuannya itu tidak bergerak dan disyaki sudah meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu.

"Mangsa menghubungi klinik kesihatan berhampiran sebelum bayinya itu disahkan sudah meninggal dunia, " katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, bayi perempuan berkenaan dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA)pada 27 September lalu.

"Jenazah bayi berkenaan dihantar ke HSA untuk tindakan bedah siasat," katanya.

Berita Harian X