Sabtu, 17 Oktober 2020 | 10:09pm

'16 tahun bertugas, ini kali pertama diserang dengan sabit'

PORT DICKSON: "Sejak 16 tahun bertugas sebagai anggota polis, ini kali pertama saya diserang dengan sabit," kata Koperal Syamsul Ikhwani, 35, menceritakan kejadian dia diserang suspek berusia 61 tahun yang bersenjatakan sabit semalam.

Ketika kejadian jam 10 malam, Syamsul bertugas meronda sebelum diminta mengawasi suspek yang bersenjata sebilah sabit di sekitar kawasan letak kereta di Pasaraya TF berhampiran PD Waterfront.

"Sebenarnya insiden ini kecil jika dibandingkan operasi rakan-rakan lain menangkap penjenayah termasuk yang bersenjatakan pistol.

"Kejadian ini saya tidak ceritakan kepada isteri, Tynariany Deanna Ahmad, 36, yang ketika itu berada di rumah kerana tidak mahu dia bimbang dan terkejut," kata bapa kepada tiga anak itu.

Sehubungan itu, katanya, kejadian itu tidak melemahkan semangatnya dalam menjalankan tugas hakiki dalam pasukan keselamatan bagi membanteras penjenayah.

Syamsul ditemui selepas dilawati Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Polis (DCP), Datuk Mohamad Mat Yusof di rumahnya di Taman Selasih di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad berkata, kejadian serangan tidak dijangka seperti itu adalah lumrah kepada anggota polis.

"Bagi saya ia satu pengalaman dan juga sebagai pengajaran agar setiap anggota polis lebih berhati-hati ketika bertugas kerana suspek boleh bertindak di luar jangka.

"Alhamdulillah, anggota kita tidak mudah panik dan sempat bertindak bagi menghalang kejadian yang lebih buruk lagi walaupun Koperal Syamsul mendapat sedikit kecederaan di kepala," katanya.

Suspek cedera di perut akibat terkena tembakan dan kini dirawat di Jabatan Kecemasan Hospital Port Dickson.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

Suspek mempunyai rekod lampau satu kes Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan senjata Berbahaya 1958.

Syamsul menerima sumbangan daripada Mohamad (tiga dari kiri) di Taman Selasih, Port Dickson. - Foto NSTP/Mohd Khidir Zakaria
Syamsul menerima sumbangan daripada Mohamad (tiga dari kiri) di Taman Selasih, Port Dickson. - Foto NSTP/Mohd Khidir Zakaria
Berita Harian X