Sabtu, 10 Oktober 2020 | 3:27pm
Bomba mendirikan pusat operasi SAR bagi menyelaras usaha mencari nelayan yang hilang, Ab Rahman Mat Kassim di Tanjung Sepat - Foto NSTP/Samadi Ahmad
Bomba mendirikan pusat operasi SAR bagi menyelaras usaha mencari nelayan yang hilang, Ab Rahman Mat Kassim di Tanjung Sepat - Foto NSTP/Samadi Ahmad

Doa semoga ayah ditemui...

KUALA LANGAT: "Saya sepatutnya menjemput abah semalam untuk datang ke rumah di Sendayan, Negeri Sembilan bagi menghadiri majlis kenduri kahwin adik ipar hari ini."

Namun Aminah Ab Rahman, 44, terkejut apabila dimaklumkan oleh ahli keluarga, ayahnya, Ab Rahman Mat Kassim, 66, hilang di perairan Batu Laut,Tanjung Sepat ketika merawai ikan bersama seorang adiknya, Faizal, 40, pada Rabu lalu.

Faizal ditemui selamat semalam.

Aminah berkata, kali terakhir bertemu ayahnya ialah ketika balik ke kampung mereka di Kampung Kundang hujung bulan lalu dan menyatakan hasrat membawa bapa tinggal beberapa hari di rumahnya bagi menghadiri majlis kenduri berkenaan.

Dalam pertemuan itu ayahnya memaklumkan sudah lama tidak turun ke laut dan berhasrat pergi merawai ikan.

"Pada pertemuan itu abah tidak memberikan jawapan sama ada akan mengikut saya pada tarikh dinyatakan sebaliknya hanya memberi jawapan 'nanti la abah bagi tahu'.

"Saya dan adik-beradik sering menziarahi dan menghubungi abah melalui telefon bagi bertanyakan khabar kerana beliau tinggal bersendirian di kampung sejak ibu meninggal dunia 16 tahun lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ab Rahman hilang selepas sampan dinaiki bersama anaknya Faizal, 40, karam di perairan Batu Laut, Tanjung Sepat ketika merawai ikan.

Faizal diselamatkan sekumpulan pemancing ikan selepas kira-kira tujuh jam terapung di laut kerana berpaut pada pelampung pukat.

Operasi mencari menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua hari ini masih diteruskan membabitkan polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), bomba, nelayan, penduduk tempatan bagi mengesan mangsa yang hilang dengan bantuan tujuh bot disediakan UMNO Bahagian Sepang.

Aminah berkata sejak kebelakangan ini ayahnya jarang ke laut dan sekiranya turun akan ditemani Faizal yang tinggal di Kampung Endah.

Katanya,Faizal bekerja sebagai polis bantuan di Subang Jaya dan jika beliau cuti dan mempunyai masa lapang akan menenemai ayahnya ke laut merawai ikan.

"Sepanjang dua hari ini kami sekeluarga sentiasa berdoa dan mengadakan solat hajat dengan bantuan penduduk kampung agar abah dapat ditemui dalam masa terdekat," katanya.

Berita Harian X