Ahad, 4 Oktober 2020 | 12:16pm
SEBANYAK 50 tong plastik mengandungi 1,250 liter minyak petrol dianggarkan bernilai RMRM2,137.50 dirampas oleh anggota PGA9 dalam serbuan di Pangkalan Haram Cikgu, Pengkalan Kubor, di sini petang semalam. NSTP/IHSAN PGA
SEBANYAK 50 tong plastik mengandungi 1,250 liter minyak petrol dianggarkan bernilai RMRM2,137.50 dirampas oleh anggota PGA9 dalam serbuan di Pangkalan Haram Cikgu, Pengkalan Kubor, di sini petang semalam. NSTP/IHSAN PGA

Penyeludup lolos naik perahu

TUMPAT: Sekumpulan lelaki melarikan diri menaiki perahu selepas lokasi kegiatan penyeludupan minyak petrol mereka diserbu pihak berkuasa.

Serbuan dilakukan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) di pangkalan haram 'Cikgu' di Pengkalan Kubor, di sini, pada jam 6.30 petang semalam.

Pegawai Pemerintah, Superintendan Azhari Nusi, berkata semasa serbuan, kelihatan beberapa individu sedang memunggah tong biru disyaki berisi petrol ke dalam perahu di tebing Sungai Golok.

"Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, kumpulan lelaki itu melarikan diri dengan menaiki bot ke arah negara jiran (Thailand) bersama sejumlah tong minyak dalam perahu terbabit.

"Pemeriksaan secara terperinci dalam kawasan stor di situ menemui 50 tong berwarna biru dan kelabu yang tersusun di satu sudut tepi pintu dan selebihnya berada di atas tanah berdekatan tebing Sungai Golok," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azhari berkata, semua petrol yang dirampas adalah sebanyak 1,250 liter dengan anggaran nilai RM2,137.50.

Berdasarkan siasatan awal, katanya, petrol terbabit diperoleh dari stesen minyak sekitar pekan Pengkalan Kubor dan dibawa ke pangkalan haram menggunakan kenderaan persendirian.

"Petrol itu kemudian dipindahkan ke dalam tong minyak sebelum diseludup bagi pasaran di negara jiran. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Berita Harian X