Jumaat, 2 Oktober 2020 | 1:45pm
Sebuah kereta jenis Perodua Myvi dikatakan merempuh kanak-kanak lelaki di Jalan Taman Puchong Indah, dekat Serdang, semalam. - NSTP/Ihsan pembaca
Sebuah kereta jenis Perodua Myvi dikatakan merempuh kanak-kanak lelaki di Jalan Taman Puchong Indah, dekat Serdang, semalam. - NSTP/Ihsan pembaca

Budak 11 tahun parah dirempuh kereta

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki parah selepas basikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan langgar lari di Jalan Taman Puchong Indah, dekat Serdang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat, berkata dalam kejadian pada jam 7 malam itu, kanak-kanak berusia 11 tahun terbabit dilaporkan cedera teruk pada bahagian kepala.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang basikal berhenti di simpang, manakala kereta Perodua Myvi dari jalan utama yang hilang kawalan lalu merempuh mangsa.

"Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Serdang dengan menaiki ambulans.

"Mengikut laporan terkini, mangsa dikatakan stabil dan masih mendapatkan rawatan lanjut di hospital terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya giat mengesan pemandu Perodua Myvi itu selepas mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan berkenaan.

"Setakat ini, pemandu itu belum membuat laporan. Hanya satu laporan dibuat oleh saksi yang merakam kejadian berkenaan.

"Butiran pemilik kenderaan sudah diperoleh dan pemandu itu sedang dikesan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 0122863875.

Sebelum ini, dua video berdurasi 19 dan 12 saat tular di Facebook, mendakwa Perodua Myvi berkenaan meninggalkan lokasi kejadian selepas merempuh kanak-kanak itu.

Berita Harian X