Rabu, 30 September 2020 | 4:54pm
Nuraina Erieka Abdullah bersama ibunya, Nur Zalina Mohd Fauzi melihat kesan kebakaran rumah mereka di flat Taman Anggerik Desa Jalan Beserah. - Foto NSTP /Mohd Rafi Mamat
Nuraina Erieka Abdullah bersama ibunya, Nur Zalina Mohd Fauzi melihat kesan kebakaran rumah mereka di flat Taman Anggerik Desa Jalan Beserah. - Foto NSTP /Mohd Rafi Mamat

Remaja lembam selamatkan adik dalam kebakaran

KUANTAN: Keberanian seorang remaja lembam menyelamatkan adiknya terperangkap dalam kebakaran rumah mereka, menjadi kebanggaan keluarganya.

Bapanya, Wan Ahmad Faiz Wan Shamsudin, 38, berkata Nuraina Erieka Abdullah, 13 dilahirkan lembam tetapi mampu membantu keluarga terutama untuk menjaga adiknya ketika dia dan isteri keluar bekerja.

Menurutnya, dalam kejadian kebakaran rumah sewanya di flat Taman Anggerik Desa Jalan Beserah, 9.30 malam Rabu lalu, Nuraina Erieka berjaya membawa keluar adiknya berusia setahun tiga bulan yang terperangkap dalam bilik.

"Ketika kebakaran, saya dan isteri Nur Zalina Mohd Fauzi, 38, ke rumah ibunya yang terletak kira-kira 500 meter daripada rumah dan ketika itu, anak bongsu tidur dalam bilik.

"Saya difahamkan Nuraina Erieka yang turun menyelamatkan diri, naik semula ke rumah kami di tingkat tiga rumah selepas mendapatinya adik bongsunya masih berada dalam bilik tidur.

"Nuraina Erieka bertindak berani meredah asap tebal dan bahang api bagi menyelamatkan adiknya,

keberaniannya yang ditunjukkan membanggakan kami sekeluarga," katanya ditemui di sini, semalam.

Wan Ahmad Faiz berkata, sekiranya Nuraina Erieka tidak segera menyelamatkan adiknya kemungkinan kejadian buruk berlaku disebabkan asap tebal memenuhi dalam rumah ketika itu.

Beliau berkata, walaupun Nuraina Erieka berstatus remaja istimewa, dia tetap memiliki sifat kasih sayang dan rasa bertanggungjawab membantu ketika dalam keadaan cemas.

Sementara itu, Nur Zalina terharu setiap kali teringatkan kesungguhan anak sulungnya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semambu, di sini meredah asap tebal semata-mata untuk menyelamatkan adiknya.

"Kebakaran berpunca daripada kebocoran paip dapur gas, api cepat merebak menyambar dinding dan siling. Kejadian berkenaan menyebabkan saya sekeluarga terpaksa menumpang inap desa seorang individu yang prihatin.

"Dengan pendapatan tidak seberapa sebagai peniaga jagung, saya buntu memikirkan sampai bila kami sekeluarga terpaksa menumpang," katanya yang lebih tiga tahun menyewa di rumah flet Taman Anggerik Desa Jalan Beserah.

Katanya, dia sekeluarga hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), SMK Semambu, jiran dan beberapa pihak yang banyak membantu meringankan mereka sekeluarga.

Berita Harian X