Selasa, 29 September 2020 | 8:38am
Senapang angin buatan sendiri yang dirampas polis dalam dua serbuan di Penaga, Kelapa Batas dan Sungai Petani, Kedah. - Foto Ihsan PDRM
Senapang angin buatan sendiri yang dirampas polis dalam dua serbuan di Penaga, Kelapa Batas dan Sungai Petani, Kedah. - Foto Ihsan PDRM

2 ditahan miliki senapang angin buatan sendiri

KEPALA BATAS: Dua lelaki ditahan polis kerana memiliki senapang angin buatan sendiri berserta peluru dalam serbuan berasingan di Penaga dan Sungai Petani, Kedah, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis mengadakan serbuan sebaik menerima maklumat berhubung pemilikan senjata itu.

"Serbuan pertama di sebuah rumah di Penaga, di sini menemui selaras senapang angin buatan sendiri, bekas mengandungi peluru 'ball bearing' dan sebuah 'compressor freezer'.

"Pemilik senjata berusia 43 tahun ditahan sebelum siasatan ke atasnya membawa satu lagi tangkapan lelaki berusia 40 tahun di Sungai Petani, Kedah.

"Tangkapan kedua pada 3.20 petang itu, polis turut menemui senapang angin buatan sendiri berserta bekas mengandungi peluru 'ball bearing'," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Semua barangan terbabit dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Berita Harian X