Sabtu, 26 September 2020 | 6:53pm
Keadaan kereta yang dinaiki dua mangsa selepas serangan oleh dua penyerang bersenjata di Telok Datok, semalam.
Keadaan kereta yang dinaiki dua mangsa selepas serangan oleh dua penyerang bersenjata di Telok Datok, semalam.

Peluru tersangkut pada tulang belakang pengawal peribadi, majikan

KUALA LANGAT: Pengawal peribadi seorang ahli perniagaan terkena lima das tembakan dalam serangan senjata api oleh dua lelaki bermotosikal dalam kejadian di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Datok, Banting di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata kesan tembakan itu ditemui hasil pemeriksaan doktor terhadap lelaki berkenaan.

"Selain daripada lima kesan tembakan itu, turut dikesan pada badan mangsa adalah sembilan kesan lubang di bahagian badan.

"Majikan pengawal peribadi itu didapati terkena dua das tembakan di masing-masing di lengan kiri dan rusuk kanan.

"Kedua-dua mereka juga mempunyai satu anak peluru tersangkut di bahagian tulang belakang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azizan berkata, kedua kedua-dua mangsa kini masih dirawat di Zon Merah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Katanya, pasukan pakar masih melakukan pemeriksaan lanjut sebelum melakukan pembedahan bagi mengeluarkan peluru yang terkena badan kedua-dua mangsa.

Semalam, Azizan memaklumkan sekurang-kurangnya sembilan das tembakan dilepaskan oleh dua suspek berkenaan berdasarkan penemuan sembilan kelongsong peluru di lokasi kejadian.

Dalam kejadian pada jam 12.45 tengah hari semalam, tiga pelajar sekolah turut mengalami kecederaan selepas dirempuh kereta yang dipandu oleh pengawal peribadi itu.

Berita Harian X