Jumaat, 25 September 2020 | 11:51am
Datuk Seri Najib Razak. ARKIB NSTP
Datuk Seri Najib Razak. ARKIB NSTP

Najib dapat lanjutan masa failkan petisyen rayuan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan lanjutan masa selama 30 hari bagi mengemukakan petisyen rayuan terhadap sabitan dan hukuman kes SRC International Sdn Bhd yang dikenakan terhadapnya.

Pada 28 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta dan memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dipenjara 12 tahun dan didenda sebanyak RM210 juta.

Dalam prosiding hari ini, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib memberitahu mahkamah, pihaknya memfailkan tiga usul untuk didengar bersama bagi mendapatkan lanjutan masa selama 30 hari bermula 18 September lalu.

Beliau berkata, permohonan lanjutan masa itu dibuat kerana rekod rayuan membabitkan dokumen yang amat banyak iaitu 112 jilid manakala alasan penghakiman pula mengandungi 801 muka surat.

"Oleh itu, demi kepentingan keadilan kami memohon masa yang mencukupi untuk menyediakan dan

memfailkan petisyen rayuan," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul bagaimanapun tidak membantah permohonan itu.

Sehubungan itu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Nordin Hassan membenarkan permohonan berkenaan.

Sebelum ini Mahkamah Rayuan sudah menetapkan pada 2 Oktober ini bagi pengurusan kes.

Sementara itu, difahamkan bahawa pihak pendakwaan belum memfailkan petisyen rayuan bagi mengenakan hukuman yang lebih berat kepada Najib.

Najib mendapat kebenaran daripada mahkamah untuk tidak hadir pada prosiding hari ini.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah wang milik syarikat pelaburan strategik itu.

Hakim turut memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun dan denda RM210 juta (jika gagal bayar, lima tahun penjara) bagi satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagi tiga tuduhan pengubahan wang haram pula, hakim memerintahkan Najib dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan.

Berita Harian X