Rabu, 23 September 2020 | 1:00pm
Kes tuntutan oleh LHDN terhadap Tengku Adnan diselesai secara baik. - Foto NSTP/ROHANIS SHUKRI
Kes tuntutan oleh LHDN terhadap Tengku Adnan diselesai secara baik. - Foto NSTP/ROHANIS SHUKRI

LHDN tuntut cukai lebih RM57 juta

KUALA LUMPUR: Kes saman tuntutan cukai pendapatan RM57.17 juta oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, diselesaikan secara baik.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar merekodkan penghakiman persetujuan selepas kedua-dua belah pihak mencapai persetujuan bagi penyelesaian.

Peguam S Saravana Kumar yang mewakili Tengku Adnan ketika ditemui pemberita selepas prosiding di kamar hakim, mengesahkan perkara itu.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan terma persetujuan yang dipersetujui kedua-dua belah pihak, termasuk jumlah tunggakan cukai yang perlu dibayar.

Turut hadir, Peguam Cara Hasil yang mewakili LHDN, Dr Hazlina Hussain, Norhisham Ahmad dan Peguam Kanan Persekutuan, Alhummidallah Idrus.

Kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman itu pada 24 Julai tahun lalu, selepas mendakwa Tengku Adnan selaku defendan masih terhutang cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga 2017, seperti dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

LHDN mendakwa, Ahli Parlimen Putrajaya itu masih gagal membayar amaun cukai pendapatan dengan kenaikan 10 peratus yang masih terhutang, semuanya berjumlah RM57,167,069.35.

Jumlah kenaikan berkenaan ialah RM64,444.38 bagi tahun 2012; RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).

Oleh itu, plaintif menuntut daripada defendan RM57,167,069.35, faedah atas jumlah itu pada kadar lima peratus setahun daripada tarikh penghakiman sehingga tarikh pembayaran, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Berita Harian X