Ahad, 20 September 2020 | 11:41am

'Ayah tanya bila nak balik'

SUNGAI PETANI: "Beberapa hari lalu, saya ada hantar pesanan WhatsApp kepada ayah supaya jangan ke laut kerana cuaca tak menentu, tapi ayah turun jugak," kata Mohd Haris Zulkifli, 27.

Katanya, dia hanya tahu kejadian menimpa bapanya, Zulkifli Mohamad, 52, selepas dihubungi adik, tetapi ketika itu sukar mempercayai apa yang dimaklumkan.

"Saya hanya tahu ayah jatuh ke laut di kawasan Tanjung Dawai selepas dihubungi adik, tapi macam tak percaya. Saya kemudian hubungi pakcik yang bersama ayah ke laut dan dia mengesahkan ia betul," katanya.

Mohd Haris adalah anak sulung Zulkifli, nelayan yang ditemui lemas selepas bot dinaiki bersama abangnya, Jaafar Mohamad, 57, dirempuh sebuah bot fiber ketika mereka sedang menangkap ikan, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Mohd Haris menunjukkan gambar bapanya, Zulkifli Mohamad. - Foto Zuliaty Zulkifli
Mohd Haris menunjukkan gambar bapanya, Zulkifli Mohamad. - Foto Zuliaty Zulkifli

Insiden berhampiran jeti Segantang Garam di Merbok ketika dua beradik itu dikatakan dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan sejak jam 5.30 petang sebelum kejadian.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan dengan penyertaan pelbagai agensi, termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah dan polis.

Mayat mangsa ditemui jam 8.10 pagi tadi oleh nelayan tempatan, kira-kira dua kilometer dari tempat dia dipercayai terjatuh.

Mohd Haris berkata, dia memang tergerak hati untuk berjumpa arwah yang menetap di Merbok selepas tidak sempat berbuat demikian sejak Aidiladha kerana sibuk dengan kerja.

"Memang saya rancang dengan isteri untuk balik berjumpa ayah esok atau lusa, tapi tak sangka pula kejadian buruk ini berlaku," katanya sambil menambah, bapanya sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori sebelum berhenti dan kemudian menjadi nelayan.

Katanya, sepanjang operasi pencarian, dia berharap supaya bapanya ditemui selamat, namun reda apabila jasad arwah ditemui hari ini.

"Dia pernah hubungi saya, tanya bila nak balik rumah sebab saya menetap di Lembah Bujang, tapi saya kata tak sempat lagi sebab kerja. Itu yang saya tergerak hati sejak kelmarin, memang nak balik tengok ayah.

"Namun, sudah jadi macam ini. Saya reda," katanya yang juga anak sulung daripada lima beradik.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad, berkata operasi yang memasuki hari kedua hari ini membabitkan empat agensi penyelamat dan nelayan berhampiran yang menggunakan beberapa bot.

Beliau berkata, operasi membabitkan seramai 32 pegawai dan anggota serta lebih 60 nelayan tempatan.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar," katanya.

Mahmad Faizal turut mengingatkan nelayan agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca dan keperluan memiliki alat pengesan 'Personal Locator Beacon (PLB)' untuk kegunaan ketika kecemasan di laut.

"Alat berkenaan dapat membantu menyingkatkan tempoh masa pencarian dengan menghantar isyarat kecemasan berserta lokasi," katanya.

Sebarang maklumat mengenai kemalangan atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Mayat Zulkifli dibawa dengan bot nelayan ke jeti sebelum diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Mayat Zulkifli dibawa dengan bot nelayan ke jeti sebelum diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Berita Harian X