Jumaat, 18 September 2020 | 2:34pm

Bekas peguam hadapi 8 pertuduhan menipu

SEREMBAN: Seorang bekas peguam mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas lapan pertuduhan memperdaya seorang lelaki berkaitan pengeluaran wang komisen berjumlah RM4.36 juta, dua tahun lalu.

Tertuduh, N G Annie Maria, 60, membuat pengakuan itu selepas kesemua lapan pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret V Vanita serta Majistret Mahyun Yusof, pada prosiding kes yang dijalankan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima yang dibacakan di hadapan Majistret Vanita, tertuduh didakwa menipu Jude Ignatius Lazaroo, 59, untuk melakukan pengeluaran wang komisen berjumlah RM4.36 juta dari Bank Negara Malaysia.

Tertuduh didakwa berjanji akan memberikan wang imbuhan kepadanya sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM17,400 ke dalam akaun Bank CIMB milik tertuduh, sedangkan pengeluaran wang komisen itu tidak wujud.

Bagi pertuduhan keenam hingga kelapan yang dibacakan di hadapan Majistret Mahyun, tertuduh didakwa menipu individu sama bagi tujuan sama sehingga mendorong mangsa memasukkan wang keseluruhan berjumlah RM39,900 ke dalam akaun bank yang sama.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma TNB, No 19, Jalan Timur, Petaling Jaya, Selangor, dan No 31 Off Persiaran Seremban 3, Seremban, antara 9 Februari 2018 hingga 22 Februari 2019.

Semua pertuduhan terbabit dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan di hadapan Majistret Vanita dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), L Rathna, manakala Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainol, pula mengendalikan pendakwaan di hadapan Majistret Mahyun.

Tertuduh diwakili oleh peguam, M Gobinathan.

Gobinathan ketika rayuan di kedua-dua mahkamah, memohon agar anak guamnya diberi jaminan yang rendah memandangkan tertuduh sudah lima tahun tidak bekerja, selain perlu menanggung bapanya yang tua.

Majistret Vanita serta Majistret Mahyun membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM11,000 dan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 1 Oktober depan sebagai tarikh serahan dokumen. – BERNAMA

N G Annie Maria (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas lapan pertuduhan memperdaya seorang lelaki berkaitan pengeluaran wang komisen berjumlah RM4.36 juta, dua tahun lalu. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
N G Annie Maria (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas lapan pertuduhan memperdaya seorang lelaki berkaitan pengeluaran wang komisen berjumlah RM4.36 juta, dua tahun lalu. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Berita Harian X