Khamis, 17 September 2020 | 6:43pm
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman, ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/ROHANIS SHUKRI
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman, ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/ROHANIS SHUKRI

Risau 1MDB tanggung terlampau banyak hutang - Saksi

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abd Rahman, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, beliau mula risau pada awal 2014 berikutan syarikat pelaburan strategik negara itu menanggung terlampau banyak hutang.

Mohd Hazem yang memberi keterangan dengan membaca penyataan saksi berkata, beliau juga curiga sama ada syarikat itu ada keupayaan untuk membayar balik hutang berkenaan.

Saksi pendakwaan ke-10 yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam pada sesi pemeriksaan utama itu berkata, antara hutang ditanggung 1MDB ialah hutang kepada Maybank berjumlah RM2.5 bilion yang digunakan untuk membeli saham syarikat pembekal tenaga, Tanjong Power, pada 2012.

Mohd Hazem berkata, pengalamannya yang sukar meminta dana 1MDB dibawa balik dari luar negara, menjadikannya semakin risau.

Katanya, ini kerana berkemungkinan dana untuk membayar hutang bank itu sekali lagi tidak dibenarkan dibawa balik oleh ahli perniagaan, Low Taek Jho (Jho Low).

Beliau berkata, banyak perbelanjaan 1MDB membabitkan dana pembiayaan projek seperti pembangunan infrastruktur TRX dan syarikat JIMAH (JIMAH Energy Ventures), yang semuanya melalui hutang baharu.

Katanya, pada masa sama, beliau tidak tahu sama ada dana 1MDB di luar negara pada waktu itu masih ada atau sudah digunakan untuk keperluan UMNO seperti dimaklumkan kepadanya sebelum ini.

"Saya menganggarkan dana di luar negara berjumlah AS$3.8 bilion atau RM13 bilion ini cukup untuk membayar hutang Maybank dan sebagai modal permulaan untuk projek 1MDB di dalam negara.

"Kebimbangan saya berhubung dana di luar negara bertambah kerana tiada akses kepada dana itu yang hanya diketahui oleh Jho Low dan peguam 1MDB, Jasmine Loo.

"Saya juga kerap bertemu Allahyarham Datuk Azlin Alias (bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Najib Razak ketika itu) untuk meluahkan kebimbangan dan menyatakan hasrat meletak jawatan serta digantikan individu yang mampu menerajui 1MDB dalam keadaan hutang yang banyak," katanya

Bagaimanapun, Mohd Hazem berkata, semua pegawai bawahan tidak mahu menggantikan beliau sebagai CEO kerana jawatan itu banyak terdedah unsur politik.

Justeru, katanya, beliau meminta Azlin untuk memberitahu Jho Low supaya mencari calon untuk menggantikannya.

Saksi itu berkata, pada akhir Oktober 2014 selepas pulang dari menunaikan haji, beliau menyatakan secara serius hasrat untuk meletakkan jawatan kepada Jho Low dan Azlin.

Katanya, pada 3 Januari 2015 selepas kembali daripada bercuti, Azlin memberitahu ada calon untuk menyandang jawatan Penolong CEO dan beliau diminta meneruskan jawatan sebagai CEO sehingga Edra Energy (anak syarikat semua pengeluar tenaga bebas (IPP) dalam 1MDB) berjaya disenaraikan dalam Bursa Malaysia pada pertengahan 2015.

"Pada 5 Januari 2015, hari pertama bekerja pada tahun itu, Arul Kanda (Kandasamy) datang untuk melapor diri sebagai Presiden 1MDB yang bermaksud saya sebagai CEO akan melapor kepada beliau.

"Pada masa itu, saya membuat keputusan bahawa ini masa yang tepat untuk meletakkan jawatan sebagai CEO kerana portfolio jawatan Presiden adalah sama saja dengan CEO," katanya.

Ketika disoal Mohamad Mustaffa mengenai gaji diterimanya ketika berkhidmat di 1MDB, Mohd Hazem berkata, beliau menerima gaji berjumlah RM93,000 sebulan sebagai CEO syarikat itu.

Katanya, beliau memulakan tugas di 1MDB sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) pada 2012 dengan menerima gaji RM65,000 sebulan, dan menerima gaji terakhir sebagai CEO pada 2015 sebanyak RM97,000.

Mohd Hazem berkata, beliau juga menerima bonus lima bulan gaji pada 2013 dan bonus 10 bulan gaji pada 2014, namun tidak menerima sebarang bayaran daripada dana diperoleh syarikat itu.

Disoal sama ada beliau bersama Jho Low berkonspirasi dalam melakukan penyelewengan berkaitan hal ehwal 1MDB, saksi pendakwaan ke-10 itu berkata, "Tidak."

Berbanding ketika mula bekerja di Arab-Malaysian Merchant Bank Bhd sebagai eksekutif kanan selepas menamatkan pengajian pada 1996, Mohd Hazem yang menjawab soalan balas peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan bahawa beliau hanya menerima gaji RM1,800 ketika itu.

Muhammad Shafee kemudian mencelah: "Tiada siapa boleh melupakan gaji pertama, saya menerima gaji RM670 ketika menjadi Timbalan Pendakwa Raya."

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 5 Oktober depan.

Berita Harian X