Isnin, 14 September 2020 | 3:37pm
Najib hadir perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi
Najib hadir perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi

Bicara 1MDB: Syarikat untuk bantu UMNO

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau diperkenal kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low selaku penasihat tidak rasmi kepada Datuk Seri Najib Razak yang menubuhkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mohd Hazem berkata, Jho low dipekenal kepadanya oleh bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias dalam pertemuan di Hotel Shangri La Putrajaya pada 15 Julai 2012.

Mohd Hazem selaku saksi pendakwaan ke-10 berkata, dalam pertemuan itu, Jho Low memberitahu bahawa penubuhan 1MDB untuk membantu UMNO dalam perniagaan membabitkan pelaburan strategik 1MDB.

"Bagaimananapun, beliau tidak menjelaskan terperinci bagaimana cara beliau akan menggunakan 1MDB untuk membantu UMNO.

"Beliau menceritakan mengenai sejarah dan latar belakang 1MDB, termasuk bagaimana beliau menubuhkan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) sehingga Kementerian Kewangan mengambil alih dan menukar nama kepada 1MDB," katanya.

Mohd Hazem berkata, 1MDB di bawah kendalian dan kehendak Najib kerana sebarang keputusan dan kata putus di bawah kuasa mutlak bekas Perdana Menteri itu.

Beliau berkata, perkara itu diberitahu kepadanya oleh Jho Low dalam pertemuan di hotel berkenaan.

Mohd Hazem berkata, oleh itu beliau mendapat gambaran dalam pertemuan itu bahawa beliau perlu mendapatkan sebarang 'clearance' (kebenaran) daripada Jho Low dahulu jika bekerja di 1MDB.

Beliau berkata, perkara itu turut disahkan Azlin.

Katanya, itu sebab sebenar beliau diperkenal kepada Jho Low dalam pertemuan berkenaan.

"Ia kerana selepas saya bertugas di 1MDB nanti, saya perlu melaporkan sebarang keputusan dan mematuhi kehendak Perdana Menteri melalui wakil beliau, iaitu Jho Low dan Datuk Azlin," katanya.

Mohd Hazem berkata, Najib menubuhkan 1MDB bagi menjana dana UMNO dan itu satu cara mendapat dana politik melalui syarikat yang diselia bekas perdana menteri itu sendiri.

Beliau berkata, Jho Low menjelaskan kepadanya bahawa syarikat 1MDB juga untuk menjaga kepentingan Najib.

Menurut saksi pendakwaan ke-10 itu, perkara yang merisaukan beliau ketika menjadi CEO dan Pengarah Urusan 1MDB ialah berkenaan kuasa dan campur tangan Najib ketika membuat keputusan untuk kepentingan syarikat.

Beliau berkata, jika Lembaga Pengarah memutuskan untuk mengubah sebarang cadangan yang tidak menguntungkan syarikat, ia tetap akan diteruskan apabila Najib campur tangan.

"Ini kerana kuasa mutlak daripada Najib terdapat pada klausa 117 Memorandum dan Artikel Persatuan 1MDB.

"Ini akan memberikan kesukaran kepada pihak pengurusan syarikat untuk terus menjana keuntungan dan mengembangkan syarikat, bahkan mungkin boleh menjejaskan prestasi syarikat," katanya.

Mohd Hazem berkata, Jho Low akan menyusun, memanipulasi dan mengatur semua keputusan, pelaburan, usahasama, kewangan dan pengumpulan dana luar negara, membabitkan projek 1MDB sebagai alat mendapatkan dana bagi Najib dan UMNO.

Beliau berkata, perkara itu diberitahu sendiri Jho Low kepadanya kerana percaya beliau rakan baik Azlin.

Disebabkan itu, katanya, Jho Low selesa untuk bercerita dan memberikan arahan kepadanya melalui e-mel dan pesanan Blackberry (BBM) serta melalui perbualan lisan.

"Jho Low akan beroperasi dari belakang dan arahan beliau perlulah dipatuhi oleh saya, bekas CEO Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas Ketua Pegawai Kewangan Azmi Tahir.

"Kami tiada pilihan lain dan terpaksa akur kerana ia arahan dari Perdana Menteri, iaitu orang yang paling berkuasa untuk membuat sebarang keputusan.

"Sekiranya tidak akur atau mematuhi arahan ini, saya risau ia akan menjejaskan karier pekerjaan saya, dan boleh dibuang kerja kerana Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk menggugurkan saya daripada syarikat ini," katanya.

Berita Harian X