Sabtu, 12 September 2020 | 6:20pm
Anggota bomba mengeluarkan lelaki yang tersepit di tempat duduk pemandu dalam kemalangan yang menyebabkan mangsa maut manakala isteri dan tiga anak mereka cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki lima beranak itu terbabas ke dalam longkang di Kilometer 7 Jalan Kampung Koh-Ayer Tawar dekat Sitiawan, hari ini. NSTP/IHSAN JBPM.
Anggota bomba mengeluarkan lelaki yang tersepit di tempat duduk pemandu dalam kemalangan yang menyebabkan mangsa maut manakala isteri dan tiga anak mereka cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki lima beranak itu terbabas ke dalam longkang di Kilometer 7 Jalan Kampung Koh-Ayer Tawar dekat Sitiawan, hari ini. NSTP/IHSAN JBPM.

Lelaki maut MPV terbabas

SITIAWAN: Seorang lelaki maut, manakala isteri dan empat anak perempuan mereka cedera ringan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki enam beranak itu terbabas ke dalam longkang di Kilometer 7 Jalan Kampung Koh-Ayer Tawar dekat Sitiawan, hari ini.

Dalam kejadian pada 10.20 pagi itu, mangsa, Mohd Tarmimi Taha, 35, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata siasatan awal mendapati enam beranak itu dalam perjalanan dari Kampung Koh menghala ke Ayer Tawar.

Menurutnya, MPV berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sendiri ke dalam longkang, menyebabkan pemandu cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Ketika polis tiba di lokasi kejadian, isteri mangsa yang berusia 35 tahun dan empat anak perempuan mereka berusia satu hingga tujuh tahun sudah tiada di lokasi.

"Bagaimanapun, isteri dan ketiga-tiga anak mangsa hanya cedera ringan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung (HSM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota di Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan menggerakkan pasukan operasi bagi bantuan mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit.

"Empat mangsa lain yang menaiki MPV itu sudah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital berhampiran sebelum bomba tiba," katanya.

Berita Harian X