Khamis, 10 September 2020 | 7:07pm

Mohd Hazem beri keterangan minggu hadapan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan mula mendengar keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abdul Rahman pada perbicaraan penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara itu, Isnin ini.

Ia berikutan Hakim Collin Lawrence Sequerah hari ini memutuskan bahawa keterangan saksi itu boleh diterima secara keseluruhannya dalam prosiding perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Sequerah dalam penghakimannya berkata, keputusan sama ada 24 daripada 118 muka surat pernyataan saksi Mohd Hazem yang didakwa pembelaan bersifat 'dengar cakap', hanya akan ditentukan di akhir kes pendakwaan.

Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berhubung persoalan sama ada keterangan yang dipertikaikan itu boleh diterima masuk sebagai bukti.

Keterangan terbabit berkaitan apa yang diberitahu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low kepada saksi bahawa 1MDB ditubuhkan bagi menyalurkan dana kepada parti UMNO.

Saksi pendakwaan ke-10 itu sepatutnya memberi keterangannya Isnin lalu, bagaimanapun ia dibantah oleh Muhammad Shafee kerana mendakwa 24 muka surat pernyataan saksi itu mengandungi keterangan 'dengar cakap'.

Sementara itu, Sequerah berkata mahkamah tidak berada dalam kedudukan untuk menentukan kebolehterimaan keterangan berkenaan pada peringkat ini kerana terdapat bukti lain akan dikemukakan ketika perbicaraan berlangsung.

"Jika perenggan yang dipertikaikan itu dikeluarkan, pihak pendakwaan akan dinafikan peluang untuk mengemukakan buktinya di mahkamah...Ia akan menyebabkan prejudis kepada pendakwaan sekiranya mereka tidak dapat mengemukakan naratif keterangan dengan betul.

"Jika perenggan itu adalah terbukti bersifat dengar cakap, maka keterangan berkenaan boleh dipadamkan daripada bukti dan daripada penemuan mahkamah sama sekali," katanya.

Bekas CEO 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman. - NSTP/Aizuddin Saad
Bekas CEO 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman. - NSTP/Aizuddin Saad
Berita Harian X