Khamis, 10 September 2020 | 1:27pm
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, pada sidang media di IPK Kelantan, hari ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, pada sidang media di IPK Kelantan, hari ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Macau Scam akibatkan kerugian lebih RM5 juta di Kelantan tahun ini

KOTA BHARU: Penipuan Macau Scam telah mengakibatkan kerugian berjumlah lebih RM5 juta di Kelantan, tahun ini, dengan pesara dan kakitangan kerajaan turut menjadi sasaran utama sindiket itu.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, berkata jumlah kerugian itu meningkat mendadak berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Beliau berkata, perkembangan itu menyaksikan tahap kesedaran rakyat negeri ini berhubung penipuan sindiket Macau Scam masih rendah sehingga mudah terperdaya.

"Malah, sindiket itu juga licik mempergunakan orang kampung dengan menawarkan sejumlah wang tertentu kononnya duit bantuan. Penduduk terbabit diminta membuka akaun bank sebelum kad serta nombor akaun berkenaan diserahkan kepada sindiket.

"Akaun dibuka penduduk kampung terbabit kemudian digunakan sindiket itu untuk menerima wang daripada mangsa yang berjaya diperdaya.

"Oleh itu, kita sukar mengesan sindiket terbabit. Apabila kita menyemak akaun yang mangsa masukkan wang, kita mendapati akaun berkenaan milik penduduk kampung dan mereka tidak tahu dipergunakan sindiket Macau Scam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Shafien berkata, sindiket itu dipercayai menyasarkan kakitangan kerajaan sebagai mangsa berikutan penjawat awam lebih mudah mendapatkan pinjaman.

Beliau turut memberikan contoh kes mangsa Macau Scam, baru-baru ini, membabitkan seorang wanita kerugian lebih RM500,000, malah sanggup membuat pinjaman.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terperdaya dengan ugutan sindiket itu, sebaliknya merujuk pihak polis terlebih dahulu.

"Pada masa sama, kita akan mempertingkat kempen kesedaran dengan berjumpa orang ramai supaya mereka tidak mudah terperdaya dengan sindiket berkenaan," katanya.

Berita Harian X