X
Rabu, 26 Ogos 2020 | 2:41pm
Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa Najib. - Foto NSTP
Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa Najib. - Foto NSTP

LHDN gagal dapatkan penghakiman terus saman anak Najib

SHAH ALAM: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) gagal mendapatkan penghakiman terus terhadap saman mendapatkan kembali RM10.3 juta cukai tertunggak daripada anak Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa.

Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Faizah Jamaludin menolak permohonan LHDN dengan memutuskan pegawainya yang mengemukakan afidavit bagi menyokong permohonan kerajaan, tidak menyatakan dalam afidavit bahawa beliau percaya defendan 'tidak mempunyai pembelaan' terhadap tuntutan kerajaan untuk cukai yang perlu dibayar.

Hakim juga mendapati sijil dikemukakan kerajaan sebagai bukti amaun cukai tertunggak dan perlu dibayar itu, tidak ditandatangani Ketua Pengarah LHDN, yang diperlukan di bawah Seksyen 142 Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Tidak ada bukti di hadapan mahkamah ini bahawa orang yang menandatangani sijil itu adalah pegawai yang dilantik untuk melaksanakan sebarang tugas ketua pengarah 'dalam bentuk tulisan tangan' selaras dengan Seksyen 136 (5) Akta berkenaan, bagi menandatangani sijil itu bagi pihaknya.

"Sijil yang ditandatangani oleh Ketua Penolong Pengarah LHDN, Cawangan Guaman Kuala Lumpur, tanpa sebarang bukti bahawa beliau dilantik bagi melaksanakan sebarang tanggungjawab ketua pengarah di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, atau diberi kuasa dalam bentuk tulisan tangan bagi menandatangani sijil itu bagi pihaknya, adalah bukti yang tidak mencukupi mengenai amaun cukai tertunggak.

"Sijil itu juga tidak cukup bagi mahkamah ini untuk memberi penghakiman mengenai cukai tertunggak dan perlu dibayar defendan," katanya.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah membuat keputusan mengenai satu kes tanpa mendengar keterangan saksi.

Hakim Faizah bagaimanapun menjelaskan keputusan mahkamah menolak permohonan kerajaan untuk penghakiman terus bukanlah satu keputusan mengenai merit tuntutan plaintif terhadap cukai tertunggak yang perlu dibayar defendan pada 2011 hingga 2017.

"Ia juga bukan satu keputusan terhadap merit tuntutan defendan bahawa taksiran cukai adalah tidak berasas dan/atau taksiran yang tidak betul.

"Ketepatan taksiran cukai dan merit pembelaan defendan adalah persoalan mengenai fakta yang akan ditentukan oleh Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan pada pendengaran rayuan defendan terhadap taksiran itu," katanya.

Mahkamah menetapkan 8 September untuk pengurusan kes bagi LHDN mengemas kini mahkamah, sama ada untuk merayu terhadap keputusan itu atau sebaliknya.

Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad dan Al-Hummidallah Idrus mewakili LHDN, manakala Nooryana Najwa diwakili Wee Yeong Kang dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

Pada 24 Julai lalu, kerajaan Malaysia sebagai plaintif memfailkan saman dan pernyataan tuntutan menerusi LHDN, dengan menamakan Nooryana Najwa, 32, sebagai defendan.

Menurut kenyataan tuntutan, plaintif mendakwa Nooryana Najwa gagal menyerahkan Borang Nyata Cukai Pendapatan Individu kepada LHDN di bawah Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran dari 2011 hingga 2017.

LHDN menegaskan sehingga hari ini, defendan tidak membayar amaun cukai pendapatan yang perlu dibayar, termasuk peningkatan yang menjangkau jumlah RM10,335,292.36.

Plaintif menuntut defendan sejumlah RM10,335,292.36; faedah berjumlah RM10,335,292.36 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman kepada tarikh pelaksanaan, kos dan bayaran lain difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

Berita Harian X