Sabtu, 15 Ogos 2020 | 6:36pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Pemandu lori disyaki bawah pengaruh dadah rempuh 5 kenderaan

GEORGETOWN: Lima kenderaan dirempuh sebuah lori yang dipandu seorang lelaki disyaki bawah pengaruh dadah di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor, di sini, malam tadi.

Mangsa nahas yang menimpa empat kereta dan sebuah motosikal kira-kira jam 10.30 malam itu termasuklah seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun mengalami retak tulang dada.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata kejadian berlaku ketika lori lima tan membawa muatan perabot itu dipandu lelaki berusia 38 tahun bersama kelindan berumur 39 tahun dari arah Bayan Lepas menghala ke Gelugor.

Beliau berkata, setiba di persimpangan lampu isyarat terbabit, pemandu lori yang disyaki berada bawah pengaruh dadah, telah memasuki laluan bertentangan di bahagian kanan sebelum merempuh sebuah motosikal dan empat kereta yang sedang berhenti kerana lampu isyarat merah.

"Akibat perlanggaran itu, dua mangsa terdiri daripada lelaki berusia 32 tahun memandu Volkswagen Polo dan lelaki berumur 40-an memandu Honda Jazz dilaporkan mengalami sakit badan, manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun pula patah tulang dada.

"Dua lagi lelaki berusia 56 dan 32 tahun yang masing-masing menaiki Mercedes serta Honda Stream bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

"Polis masih mengesan identiti penunggang motosikal yang dipercayai dihantar menerima rawatan di hospital berhampiran sejurus kemalangan," katanya kepada BH, hari ini.

Soffian berkata, pemeriksaan terhadap lori itu menemui daun kering dalam peket lutsinar di atas papan pemuka berhampiran tempat duduk pemandu yang dipercayai dadah jenis ganja, selain botol mineral berisi cecair disyaki air ketum di bahagian belakang tempat duduk penumpang.

"Susulan itu, pemandu dan kelindan lori berkenaan ditahan. Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis ganja.

"Mereka kemudian direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X