Khamis, 13 Ogos 2020 | 8:31pm

Bukit Aman tumpas sindiket judi di kondominium mewah

KUALA LUMPUR: Satu sindiket judi dalam talian yang beroperasi di kondominium servis mewah di sekitar Jalan Ampang, dekat sini, ditumpaskan polis tengah hari tadi.

Sindiket itu beroperasi 24 jam dengan menganjurkan permainan judi dan pertaruhan dalam talian menggunakan laman sesawang khas.

Walaupun dikendalikan dalam negara, sasaran sindiket adalah dalam kalangan 'kaki judi' di China dan mereka akan berusaha mengelak aktiviti haram itu dikesan pihak berkuasa kedua-dua negara.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata dalam serbuan itu enam warga China termasuk seorang wanita diberkas.

Hasil siasatan awal, katanya lokasi dua unit kediaman yang diserbu adalah tempat untuk urusan khidmat pelanggan bagi memudahkan proses pembayaran pertaruhan pasaran perjudian di China.

"Sindiket ini beroperasi sejak sebulan lalu ini dan mereka memilih lokasi yang mempunyai ciri keselamatan ketat untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Pelbagai kad bank digunakan sindiket judi dalam talian dirampas dalam serbuan di dua kondominium servis mewah di Jalan Ampang, hari ini. - Foto NSTP
Pelbagai kad bank digunakan sindiket judi dalam talian dirampas dalam serbuan di dua kondominium servis mewah di Jalan Ampang, hari ini. - Foto NSTP

"Selain mempunyai pengawal keselamatan, premis turut dipantau kamera litar tertutup (CCTV) serta menggunakan kad akses untuk masuk, naik dan turun lif ke setiap unit yang disewa," katanya selepas melihat sendiri proses pengendalian perjudian secara dalam talian di Jalan Ampang, di sini.

Mohd Zani berkata sindiket itu beroperasi setiap hari dan menawarkan pelbagai pilihan permainan judi dalam talian seperti slot Canada28, Beijing28, FuChai28 melalui laman sesawang.

"Sindiket akan menggunakan transaksi kewangan melalui perbankan dalam talian (bank di China) untuk proses menerima dan membayar wang pertaruhan atau kemenangan menggunakan mata wang China.

"Mereka (sindiket) dilaporkan mengaut keuntungan sehingga RM25,000 sebulan hasil kegiatan pertaruhan dan mampu membayar gaji bulanan antara RM3,000 hingga RM3,500 kepada pengendali warga China yang ditahan," katanya.

Dalam serbuan ini polis merampas empat unit komputer riba; dua unit komputer pelbagai jenama; 12 unit telefon bimbit; satu modem; satu router; 12 kad bank pelbagai jenama dan enam alat penerima sistem Kod Pengesahan Transaksi (TAC).

Semua yang ditahan berusia antara 22 hingga 52 tahun disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969.

Enam warga China ditahan dalam serbuah di dua kondominium servis mewah di Jalan Ampang yang menjadi lokasi operasi sindiket judi dalam talian. - Foto NSTP
Enam warga China ditahan dalam serbuah di dua kondominium servis mewah di Jalan Ampang yang menjadi lokasi operasi sindiket judi dalam talian. - Foto NSTP
Berita Harian X