Selasa, 11 Ogos 2020 | 10:41pm
Dublin Andrew Ajan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam parit di Jalan Kampung Nangka-Pinang, Kota Samarahan. - Foto ihsan Polis
Dublin Andrew Ajan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam parit di Jalan Kampung Nangka-Pinang, Kota Samarahan. - Foto ihsan Polis

Maut terbabas ke dalam parit

KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas ke dalam parit di Jalan Kampung Nangka-Pinang, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.20 petang itu, mangsa, Dublin Andrew Ajan, 57, dalam perjalanan pulang dari Kota Samarahan ke rumahnya di Kampung Entingan, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata ketika kejadian itu, mangsa membelok ke kiri untuk memasuki simpang jalan ke rumahnya.

"Difahamkan, ketika kejadian itu mangsa yang menunggang motosikal sendirian baru balik dari kedai di Kota Samarahan

"Bagaimanapun, setibanya di lokasi, motosikal mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit," katanya.

Alexson berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, namun punca kematiannya masih dalam siasatan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya lagi, kes masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X